Memahami IVF dan IUI
Apakah itu persenyawaan in vitro (IVF)?
Louise Brown merupakan bayi pertama yang dilahirkan melalui kaedah persenyawaan in vitro (IVF) pada Julai, 1978 di Oldham, England. Doktor pakar Robert Edwards dan Patrick Steptoe merupakan peneraju terhadap kejayaan ini yang telah menarik perhatian seluruh dunia. Kelahiran pertama ini telah melibatkan 102 rawatan IVF.
Hari ini, kaedah IVF telah menjadi semakin penting dalam rawatan kesuburan . Sejak pengenalannya pada tahun 1970an, kejayaan IVF semakin ketara iaitu bermula daripada hanya 10 peratus, kini ia telah mencecah 80 peratus dengan prosedur rawatan yang inovatif dan teknologi canggih. IVF bertindak melalui gabungan beberapa ubatan dan prosedur sperma bersenyawa dengan ovum (telur wanita) dan seterusnya ditempatkan di dalam rahim untuk kehamilan.
5 Langkah-langkah IVF:
Langkah 1: Rangsangan Ovari
Apa itu Rangsangan?
Ubat-ubatan akan diberikan kepada anda (pasangan wanita) untuk merangsang rahim anda bagi menghasilkan banyak telur (ovum). Ubatan ini akan diberikan setiap hari dalam bentuk suntikan di abdomen, paha atau lengan anda. Doktor anda akan menentukan dos yang bersesuaian dan akan memaklumkan anda akan risiko, kesan sampingan serta manfaat ubat-ubatan ini. Proses ini akan dipantau oleh doktor anda melalui ujian darah dan imbasan ultrabunyi.
Langkah 2: Pengambilan Telur
Pengambilan telur ialah proses dimana telur dituai daripada rahim anda. Pakar bius akan menyiapkan anda untuk bius am. Anda akan terlena sementara prosedur ini selesai dalam 15-20 minit.
Ia merupakan sebuah prosedur yang rumit dan memerlukan pakar yang berpengalaman. Telur anda tidak boleh dilihat dengan mata kasar kerana ia terkandung dalam kantung cecair dalam folikel ovari anda. Pakar akan mengeluarkan cecair dari folikel yang mungkin mempunyai telur di dalamnya. Berpandukan imej ultrabunyi, beliau akan memasukkan sebentuk jarum yang halus melalui vagina dan menembusi ovari dan kantung (folikel) yang mengandungi telur. Jarum ini bersambung dengan alat penyedut bagi menarik telur dan cecair keluar daripada setiap folikel, pada satu-satu masa.
Langkah 3: Permanian dan Persenyawaan
Dalam makmal, sperma lelaki akan diletak bersama-sama telur yang berkualiti terbaik. Gabungan sperma dan telur dinamakan sebagai permanian.
Langkah 4: Kultur Embrio
Sekiranya sperma tersebut mensenyawakan telur, embrio akan terbentuk. Pakar kami akan menempatkan embrio tersebut dalam sebuah inkubator istimewa yang sangat kondusif untuk pertumbuhan dan perkembangannya. Pakar kami akan memantau embrio tersebut selama 5-6 hari. Namun begitu, tidak semua telur akan disenyawakan dan berkembang menjadi embrio.
Langkah 5: Pemindahan Embrio
Embrio akan dipindahkan ke dalam rahim wanita selepas pengambilan telur dan persenyawaan. Doktor akan memasukkan tiub yang sangat halus (kateter) mengandungi embrio ke dalam vagina wanita, melalui pangkal rahim dan terus ke dalam rahim. Sekiranya embrio tersebut melekat pada dinding rahim dan hidup, kehamilan akan berlaku.
Apakah itu IUI?
Permanian dalam rahim (IUI) adalah rawatan kesuburan yang melibatkan sperma dimasukkan ke dalam rahim wanita bagi membantu persenyawaan. IUI bertujuan meningkatkan bilangan sperma yang berada dalam tiub falopio serta meninggikan kebarangkalian untuk persenyawaan berlaku. IUI menjadi pemangkin serta memberikan kelebihan kepada sperma namun masih memerlukan sperma untuk berenang dan mensenyawakan telur dengan sendiri. Kaedah ini kurang invasif dan lebih murah berbanding IVF.

Bagaimana IUI dilakukan?
Sebelum IUI dilakukan, ubat merangsang ovulasi akan diberikan dan memerlukan pemantauan teliti bagi memastikan telur-telur telah matang. Prosedur IUI akan dilakukan sekitar waktu ovulasi, iaitu sekitar 24-36 jam selepas terdapat peningkatan hormon LH yang menandakan ovulasi akan berlaku tidak lama lagi. Sampel air mani akan dicuci di makmal bagi mengasingkan sperma dalam air mani. Kateter akan digunakan untuk memasukkan sperma terus ke dalam rahim. Proses ini memaksimakan bilangan sperma yang ditempatkan dalam rahim serta meninggikan kebarangkalian untuk persenyawaan berlaku. Prosedur IUI hanya mengambil masa beberapa minit dan hanya menyebabkan sedikit ketidakselesaan. Langkah seterusnya ialah memerhatikan tanda-tanda kehamilan.
Apakah perbezaan IVF dan IUI?
IVF ialah proses yang melibatkan rangsangan dan pengambilan telur, persenyawaan di luar badan manusia dan kemudian dipindahkan kembali ke dalam rahim. Manakala bagi IUI pula, sperma dimasukkan ke dalam rahim sebagai jalan singkat untuk sampai ke telur bagi memudahkan persenyawaan.
Kebarangkalian untuk hamil daripada IVF sangat bergantung kepada umur wanita, penyebab utama ketidaksuburan, serta beberapa faktor berkaitan kualiti makmal IVF.IUI pula ialah rawatan kesuburan dimana sperma dimasukkan terus ke dalam rahim semasa ovulasi yang memendekkan perjalanan sperma ke telur. Semasa ovulasi, seorang wanita menghasilkan satu telur yang diambil oleh hujung tiub falopio dan menanti kedatangan sperma. IUI menghasilkan sperma berkualiti terbaik paling hampir dengan kedudukan telur tersebut bagi meninggikan peluang persenyawaan berlaku.
Bagi sebarang pertanyaan berkenaan IUI dan IVF, sila hubungi kami dan daftar temujanji anda di:
Kredit: Alpha IVF & Women’s Specialists