Melambatkan kapitan tali pusat

Terdapat beberapa jenis intervensi perubatan yang terlibat dalam proses bersalin dan melahirkan anak. Ada yang perlu, sementara yang lain boleh dipilih. Melambatkan kapitan tali pusat adalah pilihan yang semakin popular kini. Namun begitu, adakah faedahnya lebih banyak berbanding risikonya?

Apa itu melambatkan kapitan tali pusat?

Setelah bayi anda dilahirkan, doktor akan mengapit tali pusat di dua tempat – berhampiran pusat bayi anda dan seterusnya di hujung tali pusat tersebut. Tali pusat akan dipotong di antara dua pengapit ini. Prosedur ini biasanya dilakukan sejurus selepas anda berjaya melahirkan bayi anda. Dalam melambatkan kapitan tali pusat, doktor akan mengepit dan memotong tali pusat tersebut satu hingga tiga minit selepas kelahiran.

Ini membolehkan lebih banyak pemindahan darah dari plasenta ke bayi anda, dan mungkin meningkatkan jumlah darah bayi anda sebanyak satu pertiga. Oleh kerana amalan ini menjadi semakin popular, banyak kajian dilakukan mengenai faedah dan risiko melambatkan kapitan tali pusat.

Dapatan Hasil Penyelidikan

Kolej Pakar Obstetrik dan Ginekologi Amerika (ACOG) menyatakan bahawa melambatkan kapitan tali pusat bermanfaat untuk bayi yang cukup bulan serta bayi pramatang yang berjaya dilahirkan tanpa sebarang komplikasi.

Tinjauan perubatan yang dilakukan pada tahun 2013 mengaitkan tindakan melambatkan kapitan tali pusat dengan peningkatan tahap hemoglobin (peningkatan 60% dalam jumlah sel darah merah) dan tahap zat besi (tambahan 40-50mg) pada bayi yang lahir cukup bulan, serta dapat membantu mengurangkan risiko bayi ini untuk menghidap anemia. Kajian lain pada tahun 2015 yang dilakukan ke atas 263 orang kanak-kanak berumur 4 tahun mendapati bahawa kanak-kanak yang tali pusatnya dikapit sekurang-kurangnya tiga minit selepas kelahiran mendapat skor lebih tinggi dalam kemahiran sosial dan penilaian kemahiran motorik halus, berbanding dengan kanak-kanak yang tali pusatnya dikapit dalam masa kurang dari 10 saat selepas bersalin. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melambatkan kapitan tali pusat membantu meningkatkan peredaran darah pada bayi pramatang, di samping mengurangkan keperluan untuk pemindahan darah.

Melambatkan kapitan tali pusat juga bermanfaat untuk si ibu. Menurut ACOG, ia tidak mempengaruhi risiko pendarahan postpartum, sementara WHO mencadangkan ia dapat memendekkan tahap ketiga proses bersalin (mengeluarkan uri), dan juga mengurangkan kemungkinan terjadinya pelekatan uri.

Penyelidikan perubatan menunjukkan bahawa melambatkan kapitan tali pusat digalakkan tanpa mengira cara kelahiran (iaitu melalui pembedahan Caesarean atau vagina). Pada masa ini, penyelidikan ke atas ibu dengan kelahiran lebih daripada satu menunjukkan bahawa tidak ada kesan buruk yang diketahui semasa kapitan tali pusat dilambatkan untuk kelahiran lebih daripada satu serta kembar pramatang.

Walaubagaimanapun, melambatkan kapitan tali pusat harus dielakkan sekiranya ada keperluan untuk menyedarkan semula bayi dengan segera sekiranya ibu mengalami pendarahan yang banyak setelah melahirkan, yang memerlukan pemindahan darah, atau bayi tidak bernafas, atau jika doktor risaukan keadaan ibu yang kritikal, atau bayi yang memerlukan rawatan perubatan segera. Dalam kebanyakan kes, melambatkan kapitan tali pusat disyorkan, tetapi anda harus selalu berjumpa doktor untuk mendapatkan pendapat profesional, berdasarkan kepada keadaan anda dan bayi anda.

Main Menu